KOTA BHARU: Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan kepada warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Baginda yang tiba di IPK Kelantan kira-kira pukul 4 petang diiringi Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Sri Kelana D’ Raja Kelantan, Datuk Seri Raja Shah Zurin Raja Aman Shah.
Sultanah Nur Diana Petra mengenakan baju kurung meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama-sama warga IPK.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim kepada 10 penerima yang terdiri daripada warga IPK.
Sementara itu, Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun menyifatkan ini merupakan kali pertama kunjungan baginda ke IPK Kelantan.
Katanya, rata-rata warga IPK Kelantan meluahkan rasa teruja dengan keprihatinan baginda.
“Majlis ini melambangkan hubungan erat antara raja dengan rakyat,” ujarnya.-UTUSAN