TUMPAT: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mencemar duli bersama 3,000 rakyat negeri ini menyertai majlis Hari Raya With Me Aidilfitri Tahun 2023 yang berlangsung di Padang Kemahkotaan Pantai Ndo di sini, hari ini.
Baginda tiba pada pukul 6.25 petang dengan diiringi oleh Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah.
Turut berangkat ke majlis tersebut bonda baginda yang juga Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Tengku Mahkota Kelantan Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan pasangan, Che Puan Mahkota Kelantan Sofie Louise Johansson serta Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dari jajahan Tumpat.
Seorang penerima, Kamarolzaman Daud, 51, dari Kampung Kebit mengakui teruja dapat menatap raut wajah baginda secara lebih dekat.
Katanya, dia turut bersyukur menjadi salah seorang penerima sumbangan pada hari ini.
“Sumbangan ini akan saya manfaat sebaik mungkin untuk kegunaan keluarga,” ujarnya.
Sementara itu seorang pengunjung, Mariati Abdul Aziz, 56, dia sanggup menghadiri majlis tersebut semata-mata mahu melihat tuanku sultan dengan lebih dekat.
Katanya, kali terakhir dia melihat Sultan Muhammad V semasa baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan kira-kira 16 tahun lalu.
“Baginda pernah mencemar duli datang ke Kampung Bendang Kerian, hari ini saya hadir untuk melihat tuan dari dekat dan meraikan Aidilfitri,” katanya.-UTUSAN