SEREMBAN: Isu bangunan lama dan usang serta terbiar yang terdapat di dalam bandar Seremban bukanlah perkara baharu namun masih belum dapat diselesaikan sehingga berterusan menjejaskan imej dan pandangan bandar ini.
Bukan tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib namun menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon, pemilik-pemilik bangunan itu yang berada di luar negara menyebabkan masalah berkenaan masih tidak dapat diselesaikan.
Jelas beliau, ramai pemilik bangunan berkenaan yang sudah berpindah ke luar negara dan ia menyukarkan pertemuan yang dibuat antara pemilik tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membincangkan jalan penyelesaian.
“Seperti bangunan-bangunan di Lorong Jawa, ia juga menghadapi isu yang sama. Kebanyakan pemilik bangunan lama ini sudah berpindah ke luar negara dan menyukarkan pertemuan dan perbincangan.
“Bagaimanapun, saya akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi memastikan isu bangunan lama ini. Lebih – lebih lagi mereka (pemilik) bangunan lama ini membayar cukai pintu,” katanya selepas Program Penyampaian Sumbangan Ihya Ramadan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang di sini kelmarin.
Nicole yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri turut memaklumkan, setakat ini terdapat 22 buah bangunan rumah dan kedai usang di dalam bandar Seremban yang telah dikenal pasti.
“Tindakan yang diambil adalah menerusi pembersihan pokok-pokok liar telah yang dilaksanakan oleh Jabatan Taman dan Lanskap (JTL) Majlis Bandaraya Seremban (MBS).
“Sebanyak 10 buah bangunan terbakar di Lorong Jawa dn bandar Seremban pula telah diambil tindakan memasang papan dinding keselamatan berinformasi pelancongan yang juga untuk keselamatan awam,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong, berkata, kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menyelesaikan isu bangunan usang dan terbengkalai di negeri ini.
Langkah itu sebagai usaha menghidupkan kembali bangunan usang yang mempunyai nilai sejarah.-UTUSAN.