JOHOR BAHRU: Polis menahan pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak lelaki hingga mendatangkan kecederaan di bahagian kepala, telinga, perut dan kaki sehingga menyebabkan kematian di kediaman mereka di Jalan Aman, Skudai, di sini.
Mangsa yang berusia empat tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini bagi mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pukul 8.20 pagi semalam semasa sampai ke wad kecemasan.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, susulan kematian kanak-kanak itu, kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan kira-kira pukul 1.30 petang bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati kanak-kanak lelaki itu maut dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, belakang telinga, perut dan kaki.
“Ibu kandung mangsa serta suaminya yang merupakan bapa turu mangsa mengaku terlibat dalam kes tersebut. Kita percaya mereka mendera mangsa dengan menggunakan tangan dan penyangkut baju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pihak polis turut merampas telefon bimbit dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.
Rahmat berkata, hasil pemeriksaan mendapati bapa tiri mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod jenayah lampau.
“Sementara itu, ibu kandung mangsa tidak bekerja dan sedang hamil dua bulan, mereka mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia enam bulan. Kedua-dua suspek kini dikenakan tahanan reman oleh Mahkamah Johor Bahru dengan suspek lelaki selama tujuh hari bermula hari ini, manakala suspek wanita selama dua hari hingga esok,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN