PETALING JAYA: Penyampai radio dan usahawan, Shuib mendedahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan wanita pilihan, Watie Hanifiah Jun depan.
Tidak memaklumkan tarikh sebenar majlis pernikahan tersebut, Shuib bagaimanapun memberitahu setakat ini, persiapan menuju hari bahagianya sudah melepasi 30 peratus.
“Apa yang saya boleh katakan, setakat ini persiapan sudah 30 peratus seperti tempahan dewan dan ada beberapa perkara lain. Saya kalau boleh tidak mahu majlis yang terlalu gah.
“Tetapi saya faham, ini kali pertama Watie berkahwin jadi sudah tentu dia dan keluarganya mahu meraikan majlis ini. Kami cuba bersederhana tetapi menggembirakan semua orang,” katanya.
Shuib berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa dan sidang media Melakar Pahala Warnai Raya Suria FM, semalam.
Ditanya tentang perasaan bakal sekali lagi bergelar suami, Shuib tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar menunggu saat diijab kabul kelak.
Jelas dua kepada empat orang anak itu, dia dalam pada masa yang sama memerlukan seorang wanita sebagai peneman hidup dan anak-anaknya juga memerlukan kasih sayang seorang ibu.
“Bila ada seorang wanita yang sudi hidup bersama-sama, itu adalah satu pemberian daripada Tuhan. Saya sendiri perlukan sistem sokongan sebab tidak pandai berseorangan.
“Lebih-lebih lagi bila tengok anak-anak, saya memang perlukan seseorang untuk ada bersama sebab kita saja tahu kemampuan diri.
“Dari dahulu saya suka kemeriahan. Bila bersendirian, itu bukan diri saya. Saya orang yang suka keluarga besar. Bila Allah hadirkan orang yang sudi jaga saya dan anak-anak, sudah tentu saya patut hargai,” katanya.
Terdahulu, pemiant mula berteki-teki berhubung hubungan percintaan mereka selepas kerap kali ditemukan memakai pakaian sedondon ketika menghadiri beberapa majlis hiburan.
Shuib sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Allahyarham Siti Sarah yang meninggal dunia akibat Covid-19 dua tahun lalu.