Sertai YGMB, banyak manfaat - Ahli - Utusan Malaysia

Sertai YGMB, banyak manfaat – Ahli

WAN MUNANDI WAN MAMAT (kiri) dan Aminuddin Adam (dua dari kiri) menyampaikan manfaat YGMB kepada Intan Bidayu pada satu majlis di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Penerima manfaat Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyeru supaya guru-guru menyertai skim manfaat disediakan yayasan berkenaan, demi kebajikan mereka dan ahli keluarga.

Seorang ahlinya, Intan Bidayu Mohd. Rafi, 35, menerima manfaat YGMB sebanyak RM25,025 bagi membantu membiayai kos rawatan penyakit kanser payudara yang dihidapinya.

“Pada Disember tahun lalu, saya didiagnos menghidap kanser payudara. Saya melaporkan perkara itu kepada YGMB sebelum layak menerima manfaat ini di bawah kategori sakit kritikal.

“Alhamdulillah, wang yang diterima ini akan digunakan untuk membayar kos rawatan. Bayaran untuk menjalani pembedahan sahaja sudah mencecah RM30,000,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Taklimat Keahlian dan Kebajikan Serta Penyampaian Manfaat Khairat Kematian Kepada Ahli YGMB Skim 18 di Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, di sini hari ini.

Manfaat tersebut disampaikan oleh Pengerusi YGMB, Aminuddin Adam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Intan Bidayu yang merupakan seorang guru sains di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti, Skudai turut menyeru warga pendidikan di negara ini untuk menjadi ahli YGMB kerana memberi banyak manfaat kepada ahli.

Seorang lagi penerima manfaat, M. Vignesh Raja, 35, pula menerima manfaat berjumlah RM27,001 atas caruman dibuat mendiang isterinya, T. Vikneswary, 42, yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada tahun lalu, hanya setelah dua tahun pasangan itu mendirikan rumah tangga.

“Saya bersyukur apabila layak menerima manfaat ini. Wang tersebut akan digunakan untuk melangsaikan hutang peribadi isteri yang dibuat sebelum ini.

“Saya juga ingin menasihatkan guru-guru untuk turut menyertai yayasan ini kerana manfaat yang diterima boleh membantu meringankan beban ekonomi keluarga masing-masing,” katanya sambil memaklumkan  isterinya merupakan seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kulai Oil Palm. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya