KOTA BHARU: Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Uzama maut manakala 11 lagi rakannya cedera selepas van yang dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Jalan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra berhampiran Taman Bendahara di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu turut mengakibatkan pemandu van tersebut mengalami kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa Mahusin Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.32 pagi dan seramai lapan anggota termasuk pegawai telah dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, setiba di lokasi bomba mendapati sebuah van telah terbabas melibat 13 orang mangsa.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati seorang mangsa telah meninggal dunia manakala 12 mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
“Kesemua pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu berusia 12 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-UTUSAN