Segelintir peniaga daging Pasar Awam Larkin 'cekik darah' - Utusan Malaysia

Segelintir peniaga daging Pasar Awam Larkin ‘cekik darah’

SALAHUDDIN AYUB (kiri) berbual dengan seorang peniaga semasa meninjau Pasar Awam Larkin Sentral, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Segelintir peniaga di Pasar Awam Larkin Sentral, di sini didapati menjual daging pada harga melebihi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi tinjauan yang dilakukan secara mengejut di pasar berkenaan pagi tadi.

“Kita dapat banyak aduan tentang harga tidak berpatutan, mungkin faktor ramai warga asing (Singapura) berbelanja di sini, di kawasan sempadan antarabangsa, peniaga juga sudah terbiasa menjual kepada warga asing.

“Setelah saya tinjau sendiri, memang ada gerai menjual daging import tidak ikut skim harga maksimum ditetapkan. Harga ditetapkan pada RM20 sekilogram, namun mereka menjual pada harga RM24 sekilogram, ini sangat saya kesalkan.

“Tinjauan yang dibuat di kawasan lain sebelum ini mendapati peniaga boleh menjual mengikut harga kawalan, mungkin faktor lokasi berjauhan dengan sempadan, tetapi di Larkin ini, memang KPDN akan ambil perhatian serius sebab ia kawasan tumpuan warga asing berbelanja,” katanya selepas melakukan tinjauan mengejut ke Pasar Awam Larkin Sentral, di sini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, sekiranya tindakan tersebut dibiarkan berlarutan, rakyat tempatan yang berbelanja di kawasan itu akan menjadi mangsa.

“Sepatutnya bila ramai orang datang, peniaga jual pada harga ditetapkan dan mereka masih untung kerana kuantiti jualan besar, tak perlu ambil kesempatan. Saya harap peniaga-peniaga di seluruh negara dapat mematuhi harga kawalan ditetapkan, penguat kuasa akan ambil tindakan tegas kepada pihak yang ambil kesempatan.

“Sekiranya nasihat yang diberi tidak diikuti dan aduan masih diterima, kita tiada pilihan untuk kenakan tindakan kompaun dan sebagainya,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui ayam segar yang dijual di pasar-pasar awam ketika ini bersaiz lebih kecil berbanding saiz pada hari biasa.

“Mungkin kerana berlaku permintaan tinggi dalam tempoh beberapa hari ini, namun peniaga masih mematuhi harga kawalan ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram, cuma isu caj pemotongan ayam kita akan cuba selesaikan,” katanya sambil memaklumkan bahawa berdasarkan tinjauan beberapa hari lalu mendapati tiada sebarang pembelian panik sempena sambutan Aidilfitri kali ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya