JOHOR BAHRU: Saranan untuk meletakkan pentadbiran tanah rizab Orang Asli di negeri ini di bawah kategori Tanah Kesultanan akan memastikan tanah berkenaan terjamin dan tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor, Faisal Long berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjaga tanah rizab Orang Asli sekiranya cadangan menjadikannya Tanah Kesultanan dapat dilaksanakan.
“Apabila tanah rizab Orang Asli diletakkan di bawah kategori Tanah Kesultanan, ia akan menjadi lebih terpelihara dari sudut pembangunan, bukan sahaja secara fizikal malah juga ekonomi. Perkara ini juga akan dijaga pihak berkuasa negeri bagi memastikan tiada mana-mana pihak menceroboh dan mengeksploitasi hak-hak masyarakat Orang Asli khususnya di negeri ini,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya semua kawasan penempatan dan rizab Orang Asli diletakkan di bawah ‘Sultanate Land’ agar tidak ada pihak yang boleh berbuat sesuka hati.
Faisal mengakui, antara aduan diterima pihaknya termasuk pencerobohan dan pertanian secara haram.
“Sebelum ini, ada individu luar termasuk syarikat masuk ke kawasan rizab Orang Asli dan mengeksploitasi mereka untuk kepentingan peribadi, mereka turut membuka ladang sawit dan ladang getah secara besar-besaran.
“Ada di setengah tempat mereka menggunakan Orang Asli untuk mengambil kayu gaharu dalam skala besar, mengorek pasir, mencari logam bernilai dan memburu haiwan dilindungi untuk tujuan komersial. Semua ini perlu dihentikan dan tindakan meletakkan tanah rizab Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan mampu melindunginya,” katanya.
Perkara sama turut diakui Tok Batin Kampung Orang Asli Berasau, Kluang, Sari Achu yang menjunjung titah Sultan Johor dan berharap kerajaan negeri membuat keputusan wajar.
“Langkah itu bertujuan melindungi tanah Orang Asli daripada diambil kesempatan pihak tidak bertanggungjawab dan saya setuju untuk menjaga kepentingan masyarakat Orang Asli. Pada masa sama, Orang Asli yang mempunyai hak ke atasnya masih boleh meneruskan kerja-kerja bercucuk tanam dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN