BATU PAHAT: Dua sahabat maut, manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar empat kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah pusat servis kereta.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku di Kilometer 11, Jalan Batu Pahat-Kluang pukul 12.50 tengah malam tadi melibatkan pemandu kereta Honda Civic, Teo Kai Hong, 22, Marcus Teo Howe Yue,19, dan Lim Zi Xiang, 19.
Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari bandar Batu Pahat menuju ke arah Sri Gading.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh empat buah kenderaan yang diletakkan dihadapan sebuah pusat servis kereta.
“Akibatnya, pemandu kereta, Teo Kai Hong manakala Marcus Teo Howe Yue yang duduk di kerusi penumpang belakang tersepit di tempat duduk masing-masing, namun disahkan meninggal dunia di lokasi selepas berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Penggaram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penumpang hadapan, Zi Xiang pula mengalami kecederaan parah dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk rawatan dan proses bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, seramai 12 anggota bomba dan penyelamat Penggaram diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Shahrul Nizam Sadri dikejarkan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati dua orang mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing, manakala seorang lagi keluar sendiri sebelum ketibaan anggota penyelamat.
Pihaknya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – UTUSAN