BENTONG: Seorang pemandu lori perabot maut setelah kenderaan dipandu melanggar belakang sebuah treler dalam kemalangan jalan raya di kilometer 42.1, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di Bentong hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan awal mendapati, dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, lori membawa muatan perabot dari Setapak, Kuala Lumpur ke Jertih, Terengganu itu dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit.
“Lori tersebut terus melanggar belakang lori treler muatan besi buruk yang juga bergerak di sebelah kiri dari Klang ke Kuala Krai, Kelantan.
“Akibat kemalangan ini, pemandu lori perabot, Mohamad Fahmiey Zainuddin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Zaiham, kes kemalangan itu akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selanjutnya, beliau berkata, lokasi sepanjang kilometer 40 hingga 45 lebuh raya tersebut kerap berlaku kemalangan maut dan kecederaan parah berikutan laluan tersebut gelap dan perlu ada pencahayaan serta dipasang pemantul cahaya yang jelas oleh pihak berwajib. – UTUSAN