KOTA BHARU : Proses tender terhad untuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, Rantau Panjang di sini yang ditangguhkan sementara sebelum ini sudah dibuka semula.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya menjangkakan projek tersebut akan disambung ke fasa seterusnya pada tahun ini.
Menurutnya, perkara itu telah menjadi keutamaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal lagi agar proses perolehan projek tersebut diteliti agar ia dapat dimulakan dengan secepat mungkin.
“Perdana Menteri telah memberikan jaminan itu semasa pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini.
“Tiada masalah berkenaan projek itu. Cuma ia bukan projek kecil dan kita mahu pastikan proses perolehannya lebih terbuka. Kita takut jika diteruskan dengan rundingan tetap, akan berlaku pembaziran dalam projek melibatkan kos ratusan juta atau berbilion ringgit,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bakul Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kubang Kerian di Kampung Parit, Pasir Tumboh, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu menjelaskan, Kerajaan Perpaduan mahu proses perolehan dijalankan melalui amalan biasa Kementerian Kewangan.
Katanya, jika mahu dipercepatkan ia perlu ada tender pra-kelayakan dengan harapan dapat merendahkan kos.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertemuan antara Anwar dan Ahmad perlu dilihat daripada sudut positif serta di atas kapasiti mereka sebagai ketua-ketua kerajaan.
Katanya, pertemuan itu bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah-masalah negeri.
“Soal perbezaan parti adalah perkara kedua. Malah pertemuan saya selaku Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan dengan Ahmad juga berlangsung dalam suasana positif.
“Kita akan ada beberapa pertemuan lain selepas ini termasuk Karnival Alam Kita pada 11 dan 12 Mei nanti dan disambung dengan Program Rumah Terbuka Hari Raya Madani yang bakal dihadiri Anwar dan Ahmad,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, Kerajaan Perpaduan akan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah air di Kelantan namun perlu melihat permintaan langsung daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.-UTUSAN