SEREMBAN: UMNO Negeri Sembilan telah mengadakan pertemuan dan perbincangan awal dengan pihak Pakatan Harapan (PH) di negeri ini dalam mencari persefahaman untuk bersama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, persefahaman yang mahu dibentuk di antara Barisan Nasional (BN) dan PH itu adalah bagi memastikan kerjasama kedua-dua parti itu kelak dapat memenangi kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
Tambah beliau, persefahaman itu juga bagi memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan kerusi di antara PH dan BN pada PRN itu nanti.
“Saya sudah berjumpa dengan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun), sebagai perbincangan awal untuk mencari titik persefahaman menghadapi PRN. Keistimewaan Negeri Sembilan ini adalah kita tiada kerusi pembangkang apabila Kerajaan Perpaduan diwujudkan di peringkat Persekutuan, ini kerana PH menang 20 kerusi dan BN memegang 16 kerusi.
“Perbincangan antara saya dan Menteri Besar adalah dengan mencari persefahaman pertama dalam memastikan 36 kerusi ini tetap kekal dimenangi oleh Kerajaan Perpaduan, itu hasrat agenda yang pertama dan keduanya adalah supaya pengagihan kerusi nanti, BN-UMNO tidak bertembung dengan PH dalam menghadapi PRN.
“Itu prinsip yang harus kita lihat dan tumpu supaya tiada pertembungan BN dan PH di dalam PRN Negeri Sembilan, insya-Allah akan dapat capai kata sepakat, kita akan dapat buat keputusan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, dalam pertemuan awal dengan Aminuddin yang merupakan Pengerusi PH Negeri Sembilan itu, beliau turut membawa hasrat supaya UMNO dapat diberikan tambahan dua kerusi untuk ditandingi kelak.
“Ada dua, tiga formula dalam perbincangan itu, formula pertama tentulah kerusi yang kami ada sekarang ini iaitu sebanyak 16 kerusi akan diteruskan. Saya beri pandangan juga bahawa setiap daerah mesti ada wakil dari BN, seperti di Seremban tiada wakil (rakyat) dari BN di situ begitu juga Rasah, saya sudah utarakan kepada Menteri Besar supaya diberikan pertimbangan untuk BN bertanding dengan tambahan dua kerusi.
“Kita akan tengok dalam perbincangan yang akan dibuat lagi nanti, saya percaya akan capai kata sepakat demi kepentingan kerajaan yang bakal kita tubuhkan tanpa pembangkang selepas PRN nanti,” katanya lagi.
Beliau menambah, di peringkat UMNO dan BN, keputusan perbincangan itu nanti akan dibawa kepada Presiden UMNO dan Pengerusi BN dan Aminuddin pula tentu akan membawanya ke peringkat kepemimpinan Majlis Presiden PH bagi diputuskan.
“Keputusan kena buat segera untuk kita terus fokus kepada kekuatan dan persiapan jentera bagi menghadapi PRN,” katanya.
Jalaluddin dalam pada itu memberitahu, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan bagi sesi 2023-2026 yang baru dibentuk juga telah bersetuju dengan menentukan hala tuju penting iaitu untuk memenangi PRN dan memperkukuhkan kekuatan UMNO di negeri ini.-UTUSAN.