KUANTAN: Sembilan individu ditahan selepas didapati menjual bunga api dan mercun tanpa lesen atau permit di negeri ini setakat ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pemeriksaan dan tangkapan itu membabitkan lima kes di daerah ini dan empat kes di Pekan.
Menurutnya, tangkapan itu dibuat hasil operasi membabitkan 40 pegawai dan anggota unit penguatkuasa cawangan lesen dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sejak 28 Mac lalu.
“Mereka yang ditahan berusia antara 24 hingga 49 tahun. Hasil daripada tangkapan tersebut, pihak polis turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM13,060.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tujuh tahun atau denda RM7,000 atau keduanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis berbuka puasa bersama Ketua Polis Pahang Peringkat Zon A di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini petang semalam.
Dalam pada itu, Ramli berkata, polis Pahang. menerima sebanyak 424 permohonan menjual bunga api dan mercun sejak awal Ramadan.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 340 permohonan diluluskan, 50 ditolak manakala 34 lagi masih dalam proses.
“Antara punca permohonan ditolak adalah pemohon gagal (melepasi) tapisan ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, tiada surat sokongan daripada agensi lain dan lokasi penjualan tidak sesuai.
“Ada juga (permohonan) ditolak kerana melanggar syarat ditetapkan seperti berniaga secara dalam talian dan melebihi had simpanan ditetapkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kebenaran menjual mercun dan bunga api masih tertakluk kepada Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).
Katanya, ia tidak bermakna bunga api dan mercun itu boleh dijual secara bebas, cuma kelonggaran diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui kelulusan dasar bagi mengimport, menyimpan dan berniaga untuk jualan umum sempena musim perayaan.
Sementara itu, katanya, setakat ini polis Pahang masih belum menerima sebarang laporan tentang insiden tidak diingini akibat bermain mercun dan bunga api di negeri ini.
“Orang awam diingatkan bahawa bermain atau membakar mercun yang dilarang adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 3 (5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih sebulan atau denda sehingga RM100 atau keduanya sekali,” katanya. – UTUSAN