KOTA BHARU: Polis Kelantan meluluskan 34 permit penjualan mercun dan bunga api untuk sambutan Aidilfitri kepada peniaga diseluruh negeri setakat hari ini selepas menerima 85 permohonan.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 48 permohonan masih lagi diproses pihaknya dan tiga lagi ditolak kerana gagal mematuhi peraturan.
Menurutnya, daerah Kota Bharu merekodkan permohonan tertinggi iaitu sebanyak 35 dan 21 telah lulus setakat ini.
“Kita menjangkakan lebih ramai lagi peniaga akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan permit sebelum sambutan Aidilfitri.
“Polis Kelantan tidak akan menyekat sekiranya permohonan yang dibuat memenuhi syarat sebagaimana telah ditetapkan dan tidak menggugat keselamatan orang ramai,” katanya selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Azman Ayob dan Pengurus Nestle Malaysia Cawangan Pantai Timur, Awang Abdullah.
Muhamad Zaki memberitahu, peniaga perlu menjual mercun dan bunga api yang telah disenaraikan oleh kerajaan sahaja.
Katanya, pada masa sama peniaga hanya boleh menjual mercun di kawasan yang dipohon sahaja.
“Bagi memastikan peniaga yang mendapat permit mengikut peraturan, kami (Polis Kelantan) akan pemantauan lokasi yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
“Polis Kelantan boleh mengambil tindakan dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melanggar peraturan.-UTUSAN