KOTA BHARU : Polis Kelantan menjangkakan kesesakan lalu lintas di Gua Musang berada pada antara skala tiga hingga empat atau kelajuan bawah 50 kilometer sejam menjalang sambutan Hari Raya Aidilfitri hujung minggu ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, skala tersebut susulan pertambahan jumlah kenderaan masuk ke negeri ini untuk menyambut Syawal.
“Kalau sebelum ini keadaan lalu lintas di Gua Musang berada pada skala satu hingga dua dan mungkin pada tahun ini dijangka daerah itu berada di skala tiga hingga empat.
“Bagaimanapun, kita jangka skala berkenaan akan berubah kepada satu hingga dua apabila memasuki daerah Kuala Krai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Yayasan Sultan Kelantan Darulnaim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Sultanah Kelantan Nur Diana Petra Abdullah yang mencemar duli.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengamalkan sikap toleransi termasuk mematuhi peraturan lalu lintas ketika pulang ke kampung sempena musim perayaan ini.
Katanya, sikap serta perilaku pemandu sangat penting ketika berada di jalan raya bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain.
“Kita perlu merancang perjalanan agar tidak merasa terdesak untuk cepat sampai. Jangan tergesa-gesa dan tidak memandu dengan cuai kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan kemalangan besar malah boleh menyebabkan pelanggaran kecil.
“Pemandu juga perlu mengamalkan sikap sabar ketika memandu dengan tidak memotong di garisan berkembar serta laluan kecemasan. Selain itu, pastikan kenderaan juga berada dalam keadaan baik, kadang-kadang kereta tidak diservis dengan baik serta minyak tidak diisi terlebih dahulu. Jadi ini akan menyebabkan kesesakan jika kita terpaksa berhenti di tengah jalan,” ujarnya.-UTUSAN