KOTA BHARU: Penyokong Kelantan ‘mengamuk’ dengan menaikan sepanduk dan menampal poster meluahkan kekecewaan kepada pemilik pasukan Norizam Tukiman susulan aksi buruk diperagakan oleh The Red Warriors (TRW) dalam saingan Liga Super ketika ini.
Sepanduk yang tertulis TRW Kelantan FC bukan kelab menjual kopi dan burger! caro bola lah dipercayai digantung di sebuah jejantas di sekitar bandar ini.
Pada masa sama, puluhan poster turut ditampal di sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini sebagai tanda tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan.
Terdahulu, pada aksi Liga Super menentang Selangor FC semalam Ultras Kelantan ‘Gate H Boys’ dengan ‘membisu’ sepanjang 90 minit perlawanan.
Selepas mengharungi lapan perlawanan Kelantan FC hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dengan mengumpul empat mata.
Lebih membimbangkan, selepas perlawanan Kelantan FC merekodkan jumlah bolos tinggi dalam saingan Liga Super setakat ini iaitu 25 jaringan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bekas bintang Piala Dunia Korea Choi Moon-sik yang juga pengendali Kelantan FC menjadi jurulatih pertama dalam Liga Super ‘direhatkan’ musim ini.
Tindakan itu susulan aksi kurang memuaskan yang dipersembahan oleh Kelantan FC sepanjang berada dibawah kendalian Moon-Sik
Susulan itu, ejen terkenal Korea Selatan, Myeongho Jeong bertindak membuka beberapa cerita yang kurang enak di dengar secara umum di laman Instagramnya.
Ia termasuk mendakwa pengendali dari Korea Selatan itu tidak diberi kuasa penuh untuk menentukan senarai pemain selain pemain tidak dibayar gaji selama dua bulan.
Pendedahan itu, turut mendapat liputan meluas media Korea Selatan dan ia dilihat memburukkan imej liga bola sepak Malaysia.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman sebelum ini menafikan kesemua dakwaan yang dibuat oleh ejen terkenal Asia itu.
Menurut Norizam dakwaan yang dibuat oleh ejen tersebut hanyalah berniat menjatuhkan nama baik serta reputasi Kelantan dan nama bola sepak Malaysia di mata dunia.
Krisis dalaman Kelantan FC terus bergolak apabila Jeong dengan telah bersiap sedia membawa kelab itu ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Jeong mengakui dirinya sangat marah dengan kenyataan balas skuad TRW yang mendakwa dirinya sengaja memfitnah dan memburukkan Kelantan FC.-UTUSAN