RANTAU PANJANG: Seorang penyanyi dikir barat tersohor negeri ini, Mohamad Zainuri Mohd. Zin menjadikan Ramadan sebagai lubuk mengumpul pahala dengan mengagihkan air percuma setiap hari kepada lebih 200 penduduk di sekitar Kampung Gual Sitok, di sini sepanjang umat Islam menjalani ibadah puasa.
Mohamad Zainuri atau Poyie Gasi berkata, tujuan asal agihan itu untuk bersedekah kepada arwah ayah dan bapa mentuanya yang telah meninggal dunia sebelum ini.
Menurutnya, bagaimanapun usaha itu telah menarik kenalan rapat dan rakan-rakan untuk turut berkongsi rezeki dengan penduduk selepas memuat naik status dilaman sosial berkait dengan agihan air percuma tersebut.
“Ekoran itu, ada dalam kalangan kenalan dan rakan-rakan menghubungi saya untuk turut sama menghulurkan bantuan bagi menyokong program tersebut.
“Alhamdulillah agihan ini banyak membantu meringankan beban penduduk kampung yang rata-rata terdiri daripada golongan berpendapatan rendah untuk menikmati pelbagai perisa air semasa berbuka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Poyie Gasi memberitahu, kesemua minuman itu disediakan sendiri olehnya dengan bantuan daripada isteri Siti Nornabila Ahamad,30.
Katanya, setiap hari dia akan menyediakan dua hingga tiga jenis untuk diagihkan kepada penduduk setempat.
“Walaupun penat, saya dan isteri gembira sebaik sahaja melihat kesemua air dalam balang ‘licin’ diagihkan kepada penduduk.
“Ini merupakan khidmat sosial saya kepada penduduk sepanjang ‘berehat’ daripada membuat persembahan sepanjang Ramadan,” ujarnya.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kelate Bumi Bertuah duet bersama Him Rinting Mas itu berkata, dia bercadang menjadi sumbangan itu sebagai acara tahun sepanjang Ramadan akan datang.-UTUSAN