Penunggang motosikal maut selepas tercampak

Penunggang motosikal maut selepas tercampak

KEADAAN motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 36, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku, Gua Musang, Kelantan, hari ini.-UTUSAN/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta selepas gagal memotong kenderaan lain lalu tercampak dalam kelamangan di Kilometer 36, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Felda Chiku di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari  itu, mangsa, Muhammad Syahrol Azwan Mohd. Rofi, 21, yang menunggang motosikal Jenis Honda FS150FJ maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang beralamat di Jerantut, Pahang itu dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.

Menurutnya, mangsa dikatakan telah cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya namun gagal dan kemudian bertembung dengan kereta jenis Perodua Axia yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan tersebut, mangsa telah tercampak ke atas jalan manakala motosikal miliknya telah bergesel dengan cermin sisi sebuah van yang berada di hadapan kenderaan dikenal pasti menghala ke arah Gua Musang. 

“Penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan pemandu kereta jenis Perodua Axia mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Klinik Kesihatan Chiku 3,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Choon Foo berkata, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat 017-2830392 bagi membantu siasatan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya