JOHOR BAHRU: Keputusan UMNO untuk memohon pengampunan penuh bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diyakini tidak akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan parti yang membentuk kerajaan perpaduan ketika ini.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, keputusan berkenaan akan difahami kerana dilakukan atas desakan ahli UMNO di peringkat akar umbi.
“Saya rasa itu tidak akan menjejaskan hubungan antara parti dalam kerajaan, apa yang diputuskan ini adalah kehendak ahli parti yang mahukan keadilan dibuat oleh parti politik yang mereka dokong.
“Sebab itu MKT UMNO telah ambil keputusan untuk memohon mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk beri pengampunan diraja buat bekas Perdana Menteri.
“Selama ini UMNO juga tidak pernah meminta perkara sedemikian, sebaliknya UMNO yang seringkali mempertahankan institusi agama, bangsa dan diraja, dulu kini dan selamanya,” katanya ditemui selepas menghadiri Program Bubur Lambuk Orang Muda Johor yang diadakan di PPR Seri Stulang, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberitahu, pihaknya mewakili golongan muda memohon supaya keputusan tersebut dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya mewakili anak muda memohon Yang di-Pertuan Agong agar dapat mempertimbangkan permohonan menghadap dibuat Presiden dan rakan-rakan MKT UMNO yang lain,” jelasnya.
Terdahulu, MKT UMNO telah membuat keputusan untuk memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong bagi mempertimbangkan pengampunan penuh bagi bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN