PASIR PUTEH: Hampir 100 penduduk menyertai majlis berbuka puasa dan tahlil yang julung kali diadakan di pekarangan tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Hijau di sini.
Penganjur program Tuan Wi Tuan Ya berkata, pendekatan tersebut bertujuan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk selain menyuburkan lagi amalan menziarahi tanah perkuburan.
“Kita seboleh-bolehnya mahu amalan ini berpanjang dan tidak terhad setiap kali Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha semata-mata.
“Lagipun amalan sunat ini amat digalakan oleh agama, secara tidak langsung kita boleh terus mengirimkan pahala kepada sanak saudara yang sudah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Tuan Wi memberitahu, pihaknya bercadang untuk menjadikan program ini secara acara tahunan pada Ramadan akan datang.
Katanya, program secara gotong-royong ini turut menarik generasi muda seawal usia lapan tahun menyertainya.
“Besar harapan saya agar persaudaraan yang disemai hari ini akan terus berpanjangan sehingga ke genarasi akan datang.
“Kita sebagai ‘orang tua’ perlu menjadi contoh dalam mengukuhkan penyatuan ini,”ujarnya.-UTUSAN