Penceramah agama di Pahang wajib ada tauliah - Utusan Malaysia

Penceramah agama di Pahang wajib ada tauliah

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan kepada asnaf di Masjid Baharu Benta di Lipis, Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar penceramah di negeri Pahang perlu mempunyai tauliah daripada pihak berkuasa agama negeri.

Penceramah atau pengajar perlu mendapatkan tauliah daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP ).

Seri Paduka berharap mereka yang berceramah di Pahang ini mempunyai tauliah MAIP dan JAIP bagi mengelakkan elemen bertentangan syariat  Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tegas Al-Sultan Abdullah, hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam yang diberikan tauliah untuk mengajar atau ceramah di masjid atau surau di seluruh negeri ini.

“Bagi memastikan kesucian agama Islam terus terpelihara daripada sebarang anasir penyebaran ajaran salah, fitnah-memfitnah dan bersangka buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama, masyarakat dan negara maka tauliah diperlukan.

“Biarlah mereka yang bertauliah dan mahir dapat menyebarkan ilmu agama di negeri ini. Pihak pentadbir masjid dan surau diminta terus mengawasi mana-mana pihak yang mahu mengambil peluang sebagai langkah pencegahan bagi memenuhi maqasid syariah dalam aspek memelihara agama Islam,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika berangkat dan merasmikan Masjid Baharu Benta yang diberi nama Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri,  Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang yang juga ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak serta barisan EXCO Negeri Pahang dan pemipin setempat.

Dalam pada itu Seri Paduka turut menyentuh tentang peranan masyarakat dalam mempertahankan kesucian, kemuliaan serta keharmonian institusi masjid.

“Saya berharap agar setiap masjid dan surau ditadbir urus oleh ahli masjid dan surau dengan sebaik mungkin. Imarahkan masjid dengan kelas dan aktiviti keagamaan, menyatukan umat kita Islam di kawasan masing-masing.

“Masjid bukan tempat untuk berpuak-puak, memihak-mihak dan memecahbelah umat Islam. Kerap saya ulang perkara ini dan saya mahu ia diingati dan dijaga dengan baik,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong turut berharap agar masjid menjadi tempat untuk berkongsi ilmu demi kemajuan hidup dan ekonomi umat Islam sejagat.

“Saya minta kita kaji institusi masjid sebagai pusat kemasyarakatan melibatkan usaha memajukan masjid dan kawasan sekitarnya sebagai satu pusat ekonomi.

“Antara usaha yang dilakukan ialah tubuh koperasi, laksana projek berunsur agrikultural sekaligus boleh membantu masyarakat setempat melalui peluang kerja dan hasil yang diperoleh,” titah Seri Paduka.

Tegas Al-Sultan Abdullah, tidak dinafikan ada segelintir individu mengambil kesempatan berpolitik dan menyebarkan doktrin parti kepada jemaah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya