Pemuda mengaku bersalah pukul, bakar anjing - Utusan Malaysia

Pemuda mengaku bersalah pukul, bakar anjing

BRADEN YAP HONG SHENG (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seekor anjing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemuda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan memukul dan membakar seekor anjing di Taman Impian Emas, Skudai, bulan lalu.

Tertuduh, Braden Yap Hong Sheng, 19, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hong Sheng dengan zalimnya telah menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya terhadap seekor anjing betina berwarna perang di sebuah premis di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, Skudai pada pukul 1.49 pagi, 27 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian menunjukkan tertuduh telah memukul dan membakar seekor anjing berwarna perang di premis tersebut.

Susulan aduan awam, doktor veterinar telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas anjing berkenaan di Klinik Vetmedic Petlover, Taman Impian Emas pada 12.30 tengah hari, 28 Mac lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati anjing itu berada dalam keadaan ketakutan selain terdapat kesan lebam dan terbakar di bahagian paha kiri, luka kaki hadapan dan pendarahan di bahagian mata kiri.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor, Mohd. Zamri Shak@Ishak, manakala pemuda itu diwakili peguam, P. Rajakunaseelan.

Walau bagaimanapun, Rajakunaseelan memohon penangguhan hukuman terhadap tertuduh kerana peguam bela, GK. Sritharan yang sepatutnya mewakili tertuduh tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

“Peguam yang dilantik tertuduh kini berada di Filipina dan penerbangan pulang ke Malaysia adalah pada minggu depan,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 April ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya