BACHOK: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika memukat ikan bersama rakan-rakannya di Pantai Telong di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.00 malam itu, mangsa, Mohamad Azwan Mohd. Azman, 28 dipercayai ditarik arus ombak sebelum dihanyutkan ke tengah laut.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, mangsa dipercayai memukat ikan menggunakan kaedah pukat tarik di pesisir pantai itu bersama dua rakan dan empat orang kanak-kanak.
Menurutnya, Maritim Malaysia Kelantan menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira pukul 8.20 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan.
“Bot Perkasa 32 bergegas ke lokasi kejadian pada pukul 8.45 malam untuk membantu SAR selain Maritim Malaysia Kelantan turut membuka pangkalan hadapan pasukan penyelamat di pesisir Pantai Telong.
“Mangsa berasal dari Labok, Machang selain kali terakhir dilihat memakai baju dan seluar berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairun Dalilah memberitahu, pasukan penyelamat membabitkan seramai 35 anggota polis, bomba Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membantu SAR.
Katanya, SAR terpaksa ditangguhkan berikutan cuaca gelap pada pukul 11.30 malam tadi sebelum disambung semula pagi ini.-UTUSAN