KOTA BHARU: Seorang pemilik kedai emas mengagihkan 10,000 kuih akok secara percuma kepada penduduk di sekitar bandar ini dan Kuala Krai untuk dijadikan juadah ketika berbuka puasa.
Murtadhatumizi Mustapha berkata, pemilihan akok dibuat memandangkan kuih tersebut cukup popular dalam kalangan rakyat di negeri ini selain pilihan utama sepanjang Ramadan.
Menurutnya, selain itu sepanjang Ramadan tahun ini pihaknya turut menyediakan minuman dan makanan serta kuih percuma kepada orang ramai di semua tujuh cawangan kedai emas miliknya di Kota Bharu, Kuala Krai, Kuala Terengganu, Kuantan, Shah Alam dan Perda (Pulau Pinang).
“Ini merupakan perkongsian rezeki dan tanda terima kasih kepada orang ramai yang memberikan sokongan padu kepada sepanjang kedai emas saya beroperasi.
“Alhamdulillah, masyarakat bukan Islam turut hadir untuk mendapatkan sumbangan akok percuma dan situasi itu sekali gus merapatkan lagi hubungan antara kaum di negeri ini,” katanya kepada pemberita semalam.
Murtadhatumizi yang juga Pengarah Urusan Mz Gold Sdn. Bhd memberitahu, kesemua akok itu habis diagihkan dalam masa dua jam.
Katanya, akok yang diberikan itu ditempah daripada pembuat kuih tradisional yang terkenal di negeri ini.
“Hasrat saya mahu mereka yang menerima dapat merasai keenakan rasa kuih ini semasa berbuka puasa,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penghantar makanan Fahmi Hassan, 25, menyambut baik usaha yang dilakukan oleh pemilik kedai emas tersebut.
Katanya, usaha tersebut sedikit sebanyak dapat meredakan tekanan golongan berpendapatan rendah yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup.
“Besar harapan saya untuk melihat lebih ramai golongan berada tampil melakukan kerja-kerja kebajikan seperti ini,” ujarnya.-UTUSAN