JOHOR BAHRU: Pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi merupakan ujian sebenar keberkesanan semangat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan perbincangan tentang perkara itu sama ada di peringkat kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mahupun koalisi besar bersama Pakatan Harapan (PH).
Justeru, pihaknya berpandangan waktu terbaik untuk mengadakan perbincangan tentang perkara itu adalah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
“Dalam keadaan sekarang, tiada sesiapa boleh buat sasaran jumlah kerusi kerana ia dalam satu situasi lain daripada sebelumnya, bukan lagi melibatkan tradisi tetapi sebaliknya melibatkan satu gugusan parti yang lebih besar. Di bawah kerajaan perpaduan hari ini ada kira-kira 20 parti politik yang masing-masing mempunyai lambang mereka.
“Jadi, saya rasa semua pihak sedang tunggu dan lihat senario baharu dalam politik tempatan ini. Apa sekalipun, semangat kerajaan perpaduan harus diterjemah dalam apa jua bentuk, bukan dapat semua, tetapi mungkin dapat sebahagian, ini akan menjadi ujian setakat mana konsep perpaduan dapat diterjemahkan,” katanya semasa menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran MCA Johor di Hotel Trove, di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon.
Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, apa yang perlu diketahui adalah tuntutan, kehendak serta ekspektasi setiap parti dan perkara itu perlu dibuat menerusi perbincangan bersama.
“Namun setakat ini, untuk BN kita masih belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung perkara itu. Kita sedia menanti,” jelasnya.
Terdahulu, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam menghadapi PRN akan datang.
Dalam pada itu, Ka Siong berkata, MCA tiada halangan dan menghormati keputusan dibuat UMNO yang mahu memohon pengampunan penuh bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menjadi hak bagi setiap individu seperti yang tertakluk dalam perlembagaan negara.
“Setiap orang yang dipenjarakan ada hak untuk memohon pengampunan, ini bukanlah satu perkara luar biasa. Jadi, saya rasa kita perlu hormati hak mana-mana pihak terlibat dalam kes ini.
“Ada juga ahli MCA yang bersetuju dan ada bertentangan. Walau apa sekalipun mereka dah sampaikan pendirian masing-masing dan sebagai sebuah parti demokrasi, kita tidak sekat atau halang sebab ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya. – UTUSAN