GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas lori muatan mentega yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 37, Jalan Gua Musang-Jeli berhampiran Kampung Meranto di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Abdul Yasak Mat, 40, yang memandu lori jenis Isuzu maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Manakala, pemandu lori berusia 51 tahun yang membawa muatan kayu balak mengalami kecederaan di kaki akibat tersepit dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati lori yang membawa muatan mentega masuk dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika mengambil selekoh.
Menurutnya, semasa kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Jeli.
“Setibanya di lokasi, pemandu yang membawa muatan mentega dipercayai telah masuk bertentangan. Ekoran itu kedua-dua buah kenderaan itu bertembung dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Pada masa sama, ratusan bekas mentega turut jatuh bertaburan di atas permukaan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat pemandu lori mentega yang berasal dari Bandar Jengka, Pahang telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian bolehlah menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 017-2830392,” ujarnya.-UTUSAN