REMBAU: Pihak Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas di sini, kini menyiasat penularan video berkenaan sekumpulan pelajarnya yang terpaksa berjalan kaki lebih tiga kilometer untuk pulang ke asrama mereka.
Ia selepas bas yang dinanti dari institut latihan itu tidak datang mengambil mereka untuk pulang ke asrama selepas membeli juadah berbuka puasa di pekan Rembau.
“Pihak kami telah mengambil maklum dan perkara ini masih dalam proses siasatan. Semua pihak diminta bertenang dan tidak menggembar-gemburkan isu ini,” menurut kenyataan ringkas ILP Pedas, semalam.
Tular di media sosial sejak kelmarin, satu video di akaun TikTok yang menggunakan nama makcik yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pelajar-pelajar dari institut latihan tersebut berjalan kaki pada waktu malam.
Berdasarkan keterangan video tersebut, pelajar-pelajar terbabit terpaksa berjalan kaki sejauh 3.2 kilometer sambil membawa bungkusan juadah berbuka puasa selepas bas yang dinanti dari ILP Pedas tidak datang mengambil mereka.
Simpati dengan keadaan pelajar tersebut, terdapat orang awam lain yang turut membantu menghantar pelajar-pelajar terbabit untuk pulang ke asrama.
Sehingga hari ini, video berkenaan telah ditonton sebanyak 2 juta kali di akaun TikTok dan dikongsikan semula sebanyak 5,822 kali.
Sementara itu, pengguna akaun yang sama kemudiannya turut memuat naik satu video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pelajar institut latihan sama yang hanya duduk di kaki-kaki lima pekan Rembau untuk berbuka puasa sambil menunggu bas terbabit.-UTUSAN.