Pekerja sambilan didakwa hantar komunikasi lucah - Utusan Malaysia

Pekerja sambilan didakwa hantar komunikasi lucah

Muhammad Zakir Ramli di Mahkamah Sesyen di sini bagi berdepan pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakiti hati orang lain melalui Whatsapp, dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pekerja sambilan di sebuah agensi kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui Whatsapp, dua tahun lalu. 

Muhammad Zakir Ramli, 29,  mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Jean Sharmila Jesudason. 

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa gambar lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakitkan hatinya. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7.30 pagi, 20 Mei 2021 hingga 3.02 pagi, 28 Mei 2021.

Mesej itu dilihat individu berkenaan  pukul 12.11 tengah hari, 28 Mei 2021 di sebuah syarikat di Jalan Bukit Wang, Kampung Padang Panjang, Jitra. 

Difahamkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 29 tahun yang turut mempunyai hubungan persaudaraan dengan tertuduh. 

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd. Zameri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah  membenarkan tertuduh diikat jamin  RM800 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 22 Mei depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya