Pekebun kecil getah diminta manfaatkan Skim Bantuan Tanam Semula Risda - Utusan Malaysia

Pekebun kecil getah diminta manfaatkan Skim Bantuan Tanam Semula Risda

CHEW Seh Yong (kanan) dan Kamarul Azizi dalam sidang akhbar di Pejabat Risda Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Golongan pekebun-pekebun kecil getah di negeri ini diminta untuk memohon pelbagai skim bantuan yang disediakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan Dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chew Seh Yong berkata, terdapat pelbagai skim bantuan termasuk Skim Bantuan Tanam Semula yang telah disediakan pihak Risda namun jumlah permohonan yang diterima agak mengecewakan.

Jelas beliau, setakat ini berdasarkan 1,500 hektar yang diperuntukkan untuk Skim Bantuan Tanam Semula Risda di Negeri Sembilan untuk tahun ini, hanya 500 hektar sahaja yang sudah dimohon oleh pekebun-pekebun kecil.

“Banyak skim yang boleh dimohon namun jika sambutan yang diterima tidak menggalakkan, semua program-program tersebut tidak dapat berjalan dengan lancar sekali gus sukar untuk pekebun-pekebun kecil ini mencapai sasaran pendapatan sebanyak RM4,500 sebulan menjelang tahun 2025,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Seh Yong dalam pada itu berkata, beberapa faktor dikenal pasti menyebabkan pekebun-pekebun kecil tidak berminat untuk memohon skim-skim yang disediakan itu dan yang utama adalah berkenaan harga semasa getah yang rendah.

“Faktor utama sekali adalah harga, sekarang RM2.70 sahaja, berbanding dahulu memang berbeza sangat. Banyak pekebun kecil ini, kebun mereka terbiar sahaja sudah jadi macam hutan, tanah-tanah yang luas ini sudah tidak lagi produktif jadi ia perlu diaktifkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Risda Negeri Sembilan, Kamarul Azizi Mat Zin berkata, sebanyak RM30.3 juta jumlah peruntukan pembangunan Risda Negeri Sembilan telah disediakan pada tahun ini termasuk RM16.5 juta bagi tujuan program Pembangunan Tanam Semula.

“Bagaimanapun hanya sekitar 400 orang pekebun kecil sahaja yang membuat permohonan untuk skim bantuan tanam semula ini berbanding seramai 41,775 orang pekebun kecil yang telah berdaftar dengan Risda di Negeri Sembilan.

“Tahun lalu juga situasinya sama juga berlaku apabila menerusi 1,200 hektar yang disasarkan untuk permohonan Skim Bantuan Tanam Semula hanya separuh sahaja yang telah dimohon oleh pekebun-pekebun kecil,” katanya yang turut memaklumkan kebanyakan pemohon terdiri daripada pekebun kecil yang berusia 60 tahun ke atas.

Jelas beliau lagi, selain Skim Bantuan Tanam Semula, peruntukan pembangunan Risda turut diberikan kepada pekebun kecil untuk program gerah matang, keusahawanan, agromakanan dan aktiviti pengembangan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya