KOTA BHARU: Sepasang suami isteri yang menaiki motosikal sambil melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Pasir Puteh, Kampung Peringat di sini akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.
Pasangan berusia 17 dan 16 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 pagi selepas dua hari bersembunyi sebaik sahaja mengetahui mereka di buru oleh polis.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman ke atas kedua-dua suspek esok bagi tujuan siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara merbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri, dan pengguna jalan raya yang lain.
“Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis sedang memburu penunggang motosikal yang membonceng seorang wanita dengan melakukan aksi berbahaya (wheelie), dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kampung Peringat.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengarahkan JSPT Kontinjen Kelantan untuk mengesan penunggang motosikal tersebut.
Terdahulu, tular di media sosial tindakan seorang lelaki dan wanita tersebut memakai sepersalinan baju melayu dan kurung berwarna biru muda memperagakan aksi berbahaya (wheelie) sambil menunggang motosikal dengan tidak memakai topi keledar.-UTUSAN