KOTA TINGGI: Panggilan video seorang isteri berjaya menyelamatkan suami dan rakannya yang diserang dalam kejadian rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat semalam.
Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, susulan itu pihaknya telah berjaya menahan empat suspek berusia 27 hingga 47 tahun termasuk dua beradik yang dipercayai turut menggunakan parang sebagai senjata dalam rompakan berkenaan.
“Pada pukul 10.30 malam 24 April lalu Maritim Malaysia Negeri Johor telah menerima aduan mengenai insiden rompakan yang berlaku di atas pelantar Aurora Producer 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat. Ekoran itu bot Perkasa 30 telah diarahkan ke lokasi serta tiba pada pukul 12.30 tengah malam dan menemukan sebuah bot gentian kaca bersama empat suspek yang berada di bawah pelantar terbabit dalam keadaan mencurigakan.
“Kesemua suspek yang pada awalnya berpura-pura sedang bekerja menarik kabel kemudian bertindak menenggelamkan bot sebelum berpaut pada tiang pelantar terbabit sebelum keletihan dan terjun ke laut,” katanya dalam sidang media di Zon Maritim Tanjung Sedili, hari ini.
Hasil pemeriksaan awal di pelantar berkenaan telah menemukan dua orang kru berusia 24 dan 32 tahun yang disyaki menjadi mangsa rompakan tersebut.
Mangsa mengatakan ketika kejadian, pelantar yang sedang diselenggara itu dinaiki tiga lelaki bertopeng, bersenjata tajam telah menyerang, mengikat kaki, tangan dan mulut sebelum dikurung dalam sebuah kabin.
Mangsa telah terkurung selama dua jam sebelum berjaya melepaskan ikatan dan bersembunyi bagi menunggu ketibaan pihak berkuasa.
“Ketika kejadian berlaku salah seorang mangsa kebetulan sedang membuat panggilan video dengan isterinya sebelum isterinya menyedari sesuatu selepas telefon bimbit suaminya itu dirampas secara tiba-tiba dan terus senyap. Bimbang keadaan suaminya, wanita itu terus menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak kita terus membuat pengesahan dengan pihak Lembaga Pelabuhan Johor dan mendapati memang terdapat pekerja di pelantar tersebut.
“Jumlah dan barang perkakasan pelantar yang disyaki dicuri masih dalam siasatan termasuklah nilai kerugian. Pihak kita juga telah menghantar penyelam untuk mendapatkan bukti di lokasi kejadian,” katanya sambil memberitahu tiga daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes memiliki senjata berbahaya dan dadah.
Kesemua suspek kini direman selama lima hari hingga 29 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 391 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan berkumpulan. – UTUSAN