SEREMBAN: Persiapan menjelang tibanya Aidilfitri semakin rancak dengan orang ramai dilihat telah mula berpusu-pusu membeli pelbagai barangan bagi menyediakan juadah sebagai hidangan di pagi raya.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa lokasi pasar awam, pasar raya dan pasar tani di daerah ini mula menjadi tumpuan orang ramai sejak awal pagi termasuk bagi mendapatkan daging segar, ayam serta sayur-sayuran.
Rata-rata mereka ketika ditemui memberitahu memilih untuk keluar untuk membeli barangan keperluan pada hari ini sebagai persiapan sekiranya berlaku lagi hari raya ‘mengejut’.
Seorang pelanggan, Fazilah Mohd. Ali, 60, berkata, dia sudah membeli daging dan ayam serta sayur maman dan serai bagi keperluan untuk menyediakan masakan rendang.
“Disebabkan tarikh 1 Syawal masih menjadi teka-teki sama ada pada esok ataupun lusa, jadi kami sekeluarga memilih untuk membuat persiapan awal.
“Alhamdulillah, semua barangan telah dibeli malah harga juga berpatutan dan terkawal tidak membebankan sangat pengguna,” katanya ketika ditemui di Pasar Tani Kekal Paroi di sini hari ini.
Ahmad Hisharudin Mohd. Sani , 42, pula berkata, mengambil kira raya mengejut yang berlaku tahun lalu, dia juga memilih untuk ke pasar pada hari ini bagi membeli barangan keperluan untuk menyediakan juadah Aidilfitri.
“Persiapan tahun ini agak teratur dan kini hanya menunggu pengumuman pada malam ini sama ada 1 Syawal jatuh pada hari esok ataupun lusa. Apa pun yang lebih penting, semua keperluan untuk memasak juadah sudah tersedia jika raya mengejut lagi pada tahun ini,” katanya lagi.-UTUSAN.