Operasi HSA lancar walaupun tempoh menunggu lebih lama - Utusan Malaysia

Operasi HSA lancar walaupun tempoh menunggu lebih lama

OPERASI perkhidmatan kesihatan di HSA, Johor Bahru berjalan seperti biasa walaupun tempoh menunggu lebih lama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Para pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini merayu supaya doktor-doktor kontrak meneruskan perkhidmatan mereka seperti biasa dan tidak melakukan sebarang mogok.

Mereka bimbang tindakan mogok akan menyebabkan tempoh menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan doktor semakin lama.

Seorang pengunjung, Zain Ahmad, 59, mengakui terpaksa menunggu dalam tempoh lebih lama untuk mendapatkan pemeriksaan bagi menantunya yang sedang sarat mengandung dan datang ke HSA seawal pukul 9 pagi memandangkan temu janji pemeriksaan doktor pada 10 pagi ini.

“Kebiasaannya tempoh rawatan kesihatan atau pemeriksaan akan selesai dalam tempoh dua atau tiga jam, tetapi hari ini tempoh menunggu lebih lama berbanding biasa. Saya tidak tahu apakah perkara ini ada kaitan dengan mogok doktor kontrak atau tidak, tetapi sebagai orang awam, kami berharap mendapat perkhidmatan sewajarnya, katanya ketika ditemui di pekarangan HSA, di sini.

Seorang lagi pengunjung hospital yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 38, memberitahu, perlu hadir ke hospital itu sebanyak sekali dalam tempoh empat bulan untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan anaknya yang mempunyai komplikasi jantung.

“Saya tahu khabar angin yang mengatakan doktor kontrak akan mengadakan mogok dengan tidak datang kerja, tetapi di sini saya tidak tahu sama ada ia berlaku atau tidak.

“Sebaliknya operasi berjalan seperti biasa, cuma mungkin tempoh menunggu agak lama, tetapi itu bukan satu perkara baharu,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Semalam Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu memberitahu, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap doktor kontrak yang didapati terlibat dalam mogok di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya