Op Selamat 20: Polis Maran tiada kompromi enam kesalahan trafik - Utusan Malaysia

Op Selamat 20: Polis Maran tiada kompromi enam kesalahan trafik

NORZAMRI Abd. Rahman (tengah) menyampai bakul makanan kepada pengguna sempena pelancaran Op Selamat Ke-20 tahun 2023 di Plaza Tol Maran di Maran, Pahang. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Polis daerah ini akan mengenakan saman mandatori serta-merta terhadap pengguna jalan raya yang melakukan enam kesalahan utama sepanjang Op Selamat Ke-20 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 20 hingga 27 April ini.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, enam kesalahan utama itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju.

“Op Selamat kali ini bukan sahaja bagi memastikan kelancaran trafik tetapi juga penekanan terhadap pencegahan jenayah pecah rumah sepanjang cuti Aidilfitri,” katanya ketika melancarkan Op Selamat Ke-20 peringkat Daerah Maran di Plaza Tol Maran di sini hari ini.

Program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Daerah Maran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Norzamri berkata, pihaknya akan menggerakkan seluruh jentera Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), risikan dan operasi yang akan digerakkan secara sistematik sepanjang operasi.

“Fokus utama operasi untuk memastikan aliran trafik lancar, meminimumkan kes kemalangan jalan raya, keterjaminan keselamatan harta benda dan premis kediaman serta menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan individu yang ingin meninggalkan rumah dalam tempoh panjang supaya memastikan pintu kediaman berkunci dan memaklumkan kepada polis untuk pemantauan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya