SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengalu-alukan sekiranya jemaah di negeri ini mahu memakai pelitup muka bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri menggalakkan perkara tersebut kerana ia juga dilihat sebagai keprihatinan jemaah untuk menjaga kesihatan masing-masing.
“Kepada sesiapa yang ingin menggunakan pelitup muka ataupun sejadah saya amat alu-alukan. Ketika saya bersolat subuh tadi di masjid saya dapati ramai warga emas yang menggunakan pelitup muka dan membawa sejadah masing-masing.
“Saya rasa ini keprihatinan yang baik dalam kalangan mereka untuk menjaga kesihatan dan harus galakkan tetapi tidak diwajibkan di Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mantai Aidilfitri 2023 di Masjid Dato’ Klana Petra Lela Mohd. Yusof, Sikamat di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid atau surau amat digalakkan.
Jelas beliau, negara masih berada dalam fasa peralihan ke endemik, justeru prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka sekiranya berada di kawasan ramai orang dan sesak.