JERANTUT: Muka baharu dalam kalangan orang muda mendominasi ahli jawatankuasa yang dilantik dalam UMNO Bahagian Jerantut antara signifikan proses peremajaan serta sasaran utama untuk menarik minat ramai generasi baharu terhadap perjuangan parti tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah berkata, lantikan muka baharu dalam kalangan orang muda sebagai acuan transformasi perjuangan generasi baharu membarisi saf UMNO bahagian itu.
“Hal ini merupakan detik awal merintis proses peremajaan apabila kita menyasarkan ramai orang muda minat dengan UMNO. Minat bersama berjuang ke arah masa depan dalam UMNO. Tawaduk kepada kepada parti ini dalam apa juga cabaran pada masa akan datang.
“Bukan sahaja tenaga muda sebagai teras memikul perjuangan, tetapi pemikiran orang muda berlatarbelakangkan pelbagai bidang pendidikan dan profesional menjadi sandaran dalam acuan transformasi generasi baharu,” katanya selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf di Kampung Jerangsang di sini.
Menurut Haris Salleh, fokus utama saf kepimpinan baharu UMNO Jerantut untuk memberikan nafas baharu terhadap perjuangan parti itu selepas menempuh kekecewaan apabila Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Kita telah memulakan langkah mengutamakan penglibatan anak muda dalam semua aspek utama seperti pendidikan, ekonomi dan sukan selain menggalakkan keahlian baharu dalam parti berasaskan teras ‘Anak Muda Bangsa’ salah satu dalam Tujuh Garis Keramat, Tujuh Teras Perjuangan transformasi berasaskan ‘Bangkit’ UMNO Jerantut,” katanya.
Beliau yang baharu dilantik sebagai Penyelaras DUN Damak oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan, antara intipati dan strategi, iaitu UMNO Jerantut lebih segar dan kuat apabila menguasai informasi di media sosial merupakan sebahagian strategi yang perlu dipikul oleh anak muda dan ahli UMNO amnya.
“Orang muda mahu kita hampiri dan santuni dengan mendengar denyut masalah serta menjaga kebajikan. Orang lama atau otai dan saf kepimpinan sebelum ini, kita tidak pinggirkan kerana pengalaman dan kebijaksanaan mereka antara ramuan untuk memantapkan perjuangan UMNO bahagian ini,” katanya. – UTUSAN