TANGKAK: Skuad Takaful4All di bawah Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menyantuni penduduk Kampung Melayu Kundang Ulu, Tangkak, di sini yang terkesan akibat banjir, baru-baru ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd. Radzuan Mohamed, siri ziarah dan amal tersebut sebagai kesinambungan komitmen takaful untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan akibat bencana banjir.
“Selain usaha mendekatkan hubungan dengan masyarakat dan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Kempen Takaful-4-All yang diperkenalkan baru-baru ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan takaful menerusi beberapa siri aktiviti.
“Ini termasuk, jerayawara, peraduan, libat urus serta kempen media merentasi pelbagai platform, iaitu arus perdana, digital dan media sosial. Kita turut berbesar hati menghulurkan sumbangan sebanyak RM76,000 untuk baik pulih Masjid Jamek An-Nur Kundang Ulu, Tangkak di sini.
“Ini adalah hasil sumbangan daripada Persatuan Takaful Malaysia serta beberapa syarikat pengendali takaful termasuk AIA Public Takaful Bhd., Prudential BSN Takaful Berhad, Takaful Ikhlas Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad untuk membaik pulih masjid berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Siri ziarah itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti, antaranya gotong-royong membersihkan kawasan dan mengecat masjid serta memasak untuk majlis berbuka puasa bersama kariah masjid tersebut dan penyampaian sumbangan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek An-Nur Kundang Ulu, Ehsan Ahmad berterima kasih kepada MTA dan industri takaful atas bantuan yang disalurkan kepada masjid dan penduduk kampung berkenaan.
“Semoga program sebegini dapat diteruskan dan kami berharap agar lebih banyak organisasi tampil untuk beri bantuan sebegini kepada komuniti yang memerlukan.” katanya. – UTUSAN