KOTA TINGGI: Seorang mekanik maut apabila kereta dipandu terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 45, Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, Rohaizad Aimer Abu Kassim, 28, yang menetap di Felda Bukit Easter, dekat sini maut di lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang memandu Honda Civic dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru dalam perjalanan ke tempat kerja di Taman Kota Jaya gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Ekoran itu menyebabkan kenderaannya merempuh tiang elektrik di bahu jalan. Akibat dari kemalangan tersebut, pemandu lelaki berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis Kota Tinggi menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.
Dalam pada itu seramai enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kota Tinggi diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid turut dikejarkan ke lokasi kejadian.
Kemalangan mengakibatkan pemandu kereta mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan.
Pasukan operasi bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan seterusnya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pukul 8.26 pagi. – UTUSAN