JOHOR BAHRU: Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) diminta beroperasi pada tahap 100 peratus, khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pengoperasian penuh melibatkan semua laluan di pintu sempadan dengan Singapura berkenaan akan dapat melancarkan aliran trafik bagi kedua-dua hala.
“CIQ ini adalah yang tersibuk di dunia dan bakal menjadi lebih sibuk selepas ini. Daripada segi pencapaian hari ini saya tengok, ia belum lagi berada pada tahap 100 peratus. Saya lihat baharu sahaja mencapai 80 peratus kecekapan. Semua kaunter yang ada melibatkan laluan pejalan kaki, kereta, motosikal dan bas perlu dibuka sepenuhnya.
“Sekiranya ada permasalahan dari sudut teknikal, ia mestilah diselesaikan segera, juga permasalahan melibatkan kekurangan tenaga kerja,” katanya selepas meninjau operasi CIQ berkenaan hari ini.
Dianggarkan seramai dua juta pengembara akan menggunakan Tambak Johor untuk keluar dan masuk ke negara ini menjelang sambutan Aidilfitri, tahun ini.
Onn Hafiz berharap komitmen tersebut dapat diberikan oleh Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Datuk Ruslin Jusoh.
“Saya menjemput Ketua Pengarah Imigresen baharu untuk datang ke sini secepat mungkin bagi melihat kaedah terbaik untuk kita meningkatkan lagi tahap kecekapan operasi di premis ini kerana saya dan rakyat Malaysia berharap ia dapat beroperasi secara penuh.
“Pada masa sama kita juga ambil berat kebajikan petugas Imigresen yang tidak dinafikan sedang bertungkus lumus menghadapi peningkatan jumlah pengembara. Saya dapat laporan kadang-kadang tuntutan kerja lebih masa pegawai dan anggota mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan, jadi perkara seperti ini saya harap dapat diatasi segera dalam tempoh sehari dua ini,” katanya. – UTUSAN