KUALA LANGAT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu enam sekeluarga yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka dekat Batu 10 Kebun Baru, Teluk Panglima Garang di sini hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran pada Selasa lalu.
Badan baitulmal itu dalam kenyataan berkata, keluarga berkenaan menerima bantuan segera kecemasan dan bakul makanan daripada ketika melawat mereka baru-baru ini.
“LZS terus menziarahi keluarga ini sebaik mendapat berita untuk melihat dan menyantuni keadaan mangsa. Buat masa ini, mangsa bersama suami dan empat anak tinggal sementara di rumah adik-beradiknya di sekitar lokasi kejadian,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan enam sekeluarga berduka dalam Ramadan tahun ini apabila semua pakaian dan persiapan raya mereka hangus dijilat api dalam kebakaran di kira-kira pukul 6 petang.
Lebih malang, tragedi kira-kira pukul 6 petang itu berlaku ketika seorang wanita bersama empat anak lelaki dan ibunya sedang menyediakan juadah untuk berbuka puasa di rumah mereka.
Kesemua mangsa bagaimanapun sempat keluar menyelamatkan diri dan kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil serta dua buah motosikal.
Dalam pada itu, LZS turut memaklumkan pemberian bantuan lanjut kepada keluarga itu selepas menerima dokumen lengkap daripada mereka.
“Sama-sama kita doakan agar keluarga ini diberikan kekuatan dalam menempuhi ujian pada Ramadan ini. Terima kasih buat pengeluar zakat kerana terus berzakat bersama Lembaga Zakat Selangor. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” ujarnya. – UTUSAN