BENTONG: Seorang pekerja lelaki warga asing berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah apabila kaki kirinya hancur dalam kemalangan di kilometer 16, Jalan Bentong-Raub di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengah hari semalam, sebuah lori muatan habuk kayu dipandu oleh warga tempatan berusia 31 tahun dari sebuah kuari di daerah ini gagal dikawal dan terbabas ke kiri jalan kerana tayar hadapan sebelah kiri kenderaan berat itu meletup.
“Lori tersebut merempuh deretan kedai mengakibatkan seorang warga asing yang bekerja di salah sebuah kedai di situ terseret lebih 30 meter.
“Lelaki itu cedera parah di bahagian tangan kiri, manakala kaki kirinya hancur serta berlaku pendarahan di bahagian kepala dan hatinya pecah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, mangsa dikejarkan Hospital Bentong di sini untuk menerima rawatan, kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur.
Katanya, pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian badan dan tangan kiri retak telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN