KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan bantuan khas Hari Raya Aidilfitri tahun ini kepada lima kategori penerima di negeri ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM12.9 juta dan memberikan manfaat kepada 22,973 orang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kategori pertama membabitkan kira-kira 8,000 penjawat awam kerajaan negeri yang bakal menerima RM1,200 seorang.
Menurutnya, kategori kedua membabitkan 700 anak yatim berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang yang menerima RM200.
“Pesara kerajaan negeri berjumlah 4,500 orang pula akan menerima RM200 dan mereka ini dalam kategori ketiga penerima bantuan khas Aidilfitri pada kali ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, seramai 7,000 ibu tunggal miskin akan menerima bantuan khas dalam kategori keempat sebanyak RM200.
Katanya, kategori kelima membabitkan pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK); timbalan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan rancangan (JKKR); pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung Orang Asli (JPKKOA) dan Tok Batin menerima RM500 manakala RM200 pula untuk setiausaha JPKK.
“Saya berharap, bantuan khas ini dapat meringankan beban penerima terutamanya dalam membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri bulan ini,” katanya. – UTUSAN