PASIR MAS: Kegembiraan pasangan kembar menjalankan aktiviti mingguan mendaki Bukit Panau, Tanah Merah dekat ini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka rebah dan meninggal dunia pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi, mangsa Hasan Sulaiman, 55 dari Kampung Pengkalan Kubor, Salor, Kota Bharu dikatakan rebah semasa berhenti rehat selepas mengalami kekejangan pada pangkal paha.
Abang mangsa Hussin, 55, berkata, dia dan adiknya memulakan aktiviti mendaki bukit itu pada pukul 7.30 pagi.
Menurutnya, selepas mendaki sejauh 200 meter, Hasan secara tiba-tiba mengadu pangkal pahanya mengalami kekejangan dan mahu berhenti berehat buat seketika.
“Semasa mahu duduk berehat di atas trek, adiknya telah rebah secara tiba-tiba. Saya sempat meminta bantuan orang ramai yang mendaki di situ untuk memberikan rawatan kecemasan menggunakan kaedah Resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum bomba datang.
“Bagaimanapun, Allah lebih menyayangi Hasan apabila dia meninggal dunia di lokasi pendakian,” katanya ditemui Utusan Malaysia di Unit Perubatan Forensik Hospital Pasir Mas, Lati di sini hari ini.
Hussin memberitahu, arwah adiknya tidak mempunyai penyakit kritikal malah mereka berdua sentiasa mendaki bukit walaupun di bulan Ramadan.
“Selepas sambutan Aidilfitri, arwah telah datang ke rumah di Kampung Lemal di sini dan mengajak saya untuk mendaki Bukit Panau.
“Tiada kelakuan pelik ditunjukkan arwah kecuali memilih warna putih sebagai tema untuk baru raya tahun ini selepas berbincang dengan saya,” ujarnya.
Hussin berkata, tahun ini dia dan seluruh ahli keluarga menjadikan warna putih sebagai tema pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.-UTUSAN