TANAH MERAH: Sekumpulan penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan sebuah lori yang sarat dengan 8,500 kilogram (kg) minyak masak peket selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan di kawasan ladang kelapa di Felda Kemahang 3 di sini, semalam.
Dalam serbuan pukul 10 malam itu, kumpulan penyeludup berjaya meloloskan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diperoleh pihaknya berkait aktiviti berkenaan sebelum mengekori sebuah lori jenis Isuzu disyaki membawa minyak masak paket bersubsidi dari arah Jeli menghala ke Tanah Merah.
Menurutnya, hasil pemerhatian yang dibuat KPDN Kelantan mendapati beberapa individu sedang memunggah kotak-kotak mengandungi minyak masak berkenaan.
“Menyedari lokasi tersebut sudah diserbu anggota KPDN, kumpulan lelaki berkenaan terus bertindak melarikan diri sehingga gagal dijejaki.
“Pemeriksaan ke atas lori membawa kepada penemuan 8,500 kg minyak masak paket yang telah disusun rapi didalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman memberitahu, pemeriksaan lanjut dikawasan itu turut menjumpai minyak masak peket yang berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.
Katanya, anggota KPDN turut menemui dua buah motorsikal disyaki milik individu-individu yang melarikan diri dan pasukan telah bertindak menyita kesemua barangan untuk siasatan lanjut.
“Nilai rampasan barang kawalan yang disita dianggarkan sebanyak RM21,250 dan jumlah keseluruhan termasuk kenderaan adalah sebanyak RM105,250.
“Kita tidak menolak kemungkinan kesemua minyak masak berkenaan diperolehi dari luar Kelantan. Penyeludup menggunakan modus operandi menyimpan bekalan minyak masak di suatu tempat sebelum dibawa ke sempadan negara untuk penyeludupan,” ujarnya.
Azman berkata, kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi pertuduhan di Mahkamah selanjutnya dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 1 juta atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali bagi individu dan RM 2 juta bagi perbadanan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“KPDN Kelantan memberikan amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini, seterusnya tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.-UTUSAN