PORT DICKSON: Hasil cerapan rasmi di Balai Cerap Telok Kemang di sini turut tidak menampakkan anak bulan Syawal berikutan tidak memenuhi kriteria Imkanur Rukyah.
Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Amran Awaludin menjelaskan, cerapan rasmi hilal Syawal telah bermula pada pukul 7.10 malam sehingga 7.29 malam tadi juga sukar menampakkan anak bulan berikutan faktor langit berawan dan sedikit hujan.
“Di Balai Cerap Telok Kemang kami mengesahkan tiada kenampakan anak bulan Syawal hari ini. Faktor kiraan asas tidak menepati kriteria, selain itu, faktor langit berawan dan hujan sedikit pada petang tadi menyukarkan penglihatan anak bulan Syawal,” katanya ketika ditemui malam ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu (22 April 2023).
Ia selepas aktiviti cerapan anak bulan bagi menentukan tarikh 1 Syawal dibuat di 29 lokasi di seluruh negara, hari ini.
Kebolehnampakan hilal (anak bulan) atau disebut sebagai Imkanur Rukyah adalah penentuan masuknya awal bulan baharu.
Ia apabila kedudukan hilal ketika matahari terbenam berada dalam keadaan yang kemungkinan kenampakannya dan hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi kriterianya.-UTUSAN.