JOHOR BAHRU: Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dibenar untuk menggunakan laluan kecemasan antara Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kebenaran tersebut melibatkan laluan sepanjang lapan kilometer (km).
Menurutnya, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Langkah ini diambil kerana lokasi itu dikenal pasti sebagai antara kawasan utama kesesakan jalan raya, khususnya apabila tiba musim perayaan. Jadi, tujuannya untuk mengurangkan kesesakan dengan melancarkan pergerakan kenderaan.
“Tarikh yang dibenarkan adalah sebelum Aidilfitri, iaitu pada 20 dan 21 April serta selepas Aidilfitri, iaitu pada 27 dan 28 April,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Infra Desa di Southkey, di sini hari ini.
Mohamad Fazli berkata, kebenaran tersebut tertakluk dengan prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan ditetapkan dalam Mesyuarat Koordinasi Aliran Trafik Negeri Johor Sempena Perayaan Aidilfitri 2023 pada 13 April lalu.
Orang ramai turut diminta mengikuti jadual perancangan perjalanan yang disediakan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) untuk mengelakkan kesesakan dalam tempoh tersebut.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pasir turut meminta pengurusan Lebuhraya Senai Desaru (SDE) untuk melaksanakan inisiatif sama melibatkan laluan itu sempena perayaan ini.
“Kita juga minta SDE untuk kaji lakukan perkara sama, namun laluan berkenaan sedikit berbeza kerana kebiasaannya trafik di kawasan itu akan sesak bukan sebelum atau selepas hari raya tetapi pada sambutan hari raya,” katanya. – UTUSAN