GUA MUSANG: Aliran trafik di jalan alternatif di sini sesak sejauh enam kilometer apabila kenderaan perantau bertali arus masuk ke Kelantan untuk pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini di Hentian Gua Musang sehingga ke Simpang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini mendapati, laluan terbabit penuh dengan kenderaan sejak pagi tadi.
Seorang operator kilang, Nuramiza Omar, 33, berkata, dia bertolak dari Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 3 pagi dengan menunggang motosikal bersama suami dan rakan-rakan.
Menurutnya, dia tiba di Hentian Gua Musang pada pukul 12 tengah hari untuk berehat selepas menempuh kesesakan.
“Saya tetap memilih laluan Gua Musang untuk pulang ke Melor, Kota Bharu meskipun menyedari akan berlaku kesesakan disebabkan lencongan jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Nur Amila Abdullah berkata, dia bersama ahli keluarga menempuh perjalanan lebih 10 jam dari Cheras, Kuala Lumpur ke Gua Musang.
Katanya, kebanyakan laluan mengalami kesesakan yang teruk antaranya di Gombak di Selangor selain Raub, Kuala Lipis dan Merapoh di Pahang.
“Kami bertolak dari rumah kira-kira pukul 1 pagi dan sampai di Hentian Gua Musang pada jam 11 pagi tadi.
“Pada mulanya kami merancang untuk melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), namun aplikasi “Waze” membawa kami ke jalan ini. Jadi, kami melalui jalan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis dan terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas,” ujarnya yang akan pulang ke kampung halaman di Tanah Merah.-UTUSAN