GUA MUSANG: Laluan alternatif Gua Musang-Kuala Lipis yang sesak semalam kembali lengang apabila jumlah kenderaan dilihat semakin berkurangan susulan anak Kelantan diperantauan sudah mula ke kampung halaman sejak dua hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan alternatif di hadapan Hentian Gua Musang, Kampung Tanah Putih di sini menghala ke simpang Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang mulai lancar.
Seorang pengguna jalan raya, Mohd. Azizi Seman, 45, berkata, pergerakan kenderaan dilihat lancar dan tiada kesesakan berlaku sebaik sahaja memasuki lencongan di Kampung Tanah Putih.
Menurutnya, aliran trafik menuju ke Gua Musang turut lancar berbanding semalam apabila berlaku kesesakan di laluan alternatif sepanjang enam kilometer berkenaan.
“Saya lihat warga kota mengambil peluang untuk pulang semalam kerana ramai yang menjangkakan 1 Syawal jatuh pada hari ini, namun sebaliknya berlaku.
“Saya mengambil keputusan pulang ke Kuala Krai hari ini dan tidak sangka perjalanan lancar ketika memasuki laluan Gua Musang,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohd. Nizam Mohd. Sidek, 39, berkata, aliran trafik lancar di beberapa laluan di lebuh raya utama termasuklah melalui plaza tol Gombak.
Katanya, dia bertolak pada pukul 7 pagi tadi dari Kuala Lumpur dan tiba di bandat Gua Musang pada pukul 11 pagi.
“Saya menjangkakan ramai pengguna pulang melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kerana tidak mahu bersesak di jalan alternatif.
“Warga kota yang ingin pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri diingatkan sentiasa merancang perjalanan agar selamat serta sampai ke destinasi yang dituju,” ujarnya.-UTUSAN