KUALA PILAH: Daerah Kuala Pilah bakal mengeluarkan beras berkualiti berjenama sendiri menerusi pengeluaran padi dari kawasan penanaman seluas 68.12 hektar di Terachi dekat sini.
Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, produk beras dengan jenama Seri Menanti itu disasar dikeluarkan dalam tempoh lima tahun mendatang yang turut bertujuan mempromosi Kuala Pilah sebagai destinasi pelancongan.
Kata beliau, Kuala Pilah merupakan daerah yang terletak di bawah Wilayah Pembangunan Agropolis menerusi Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2045 dengan salah satu strategi pembangunannya adalah mengekal dan meningkatkan skim padi di daerah berkenaan.
“Sehubungan itu menjadi tanggungjawab pentadbiran daerah memastikan kadar guna tanah pertanian dapat dimaksimumkan. Perlunya satu perancangan bersama agensi-agensi daerah terlibat bagi membangunkan tanah-tanah pertanian ini menjadi sumber ekonomi yang berproduktiviti dan mampu menghasilkan pendapatan tinggi.
“Untuk tujuan itu difikirkan perlunya satu produk dibangunkan yang turut dapat mempromosi dan memberi pengenalan kepada daerah Kuala Pilah secara tidak langsung memberi impak kepada sektor pelancongan tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah beliau, perbincangan lanjut untuk mewujudkan produk beras Seri Menanti akan bermula dalam Jawatankuasa Pelancongan Daerah Kuala Pilah.
“Produk beras Seri Menanti ini akan menjadi salah satu agenda khusus yang akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun akan datang. Jumlah pengeluaran beras di kawasan Terachi kini mencecah 49.4 tan setiap kali musim tuaian dan kemudian diproses di kilang yang terletak di Selangor,” katanya.
Jelas Mohd. Faizal, projek penanaman padi di Terachi tersebut telah dilaksanakan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah dan Pejabat Pertanian Daerah Kuala Pilah yang turut melibatkan dua orang pengusaha padi aktif.
“Jumlah kawasan pertanian padi di Terachi adalah sebanyak 68.12 hektar dan sawah padi yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah seluas 13 hektar,” katanya.-UTUSAN.